Rabu, 18 Januari 2012

68 warga felcra sungai ara saman felcra

Written by Aziz Muda
Rabu, 04 Jan 2012 17:16

KUALA LUMPUR, 4 Jan: 68 orang bekas peneroka Felcra di kawasan Kota Tinggi, Johor, hari ini memfailkan saman pemula terhadap badan itu bagi menuntut pampasan akibat kerugian yang dialami oleh mereka sejak 20 tahun lalu.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada jam 9.30 pagi tadi, dengan ditemani tiga orang peguam yang diketuai Sir Banded dari syarikat guamannya, Sir Banded & Co.

Pengerusi Koperasi Perladangan Sungai Ara Berhad, Daud Hassan, 58, memberitahu, saman yang difailkan oleh mereka itu membabitkan tuntutan 9 perkara, dengan tuntutan utamanya melibatkan ganti rugi yang dialami oleh mereka akibat tindakan tidak bertanggungjawab badan tersebut terhadap para peneroka terbabit.

Menurutnya, kesemua mereka menyertai Felcra di kawasan itu sejak 18 Januari 1975 lalu dengan bilangan keseluruhannya seramai 386 orang.

Katanya, kumpulan mereka kemudiannya telah mengambil keputusan keluar dari Felcra beberapa tahun lalu akibat tidak tertahan dengan tindakan badan tersebut terhadap mereka dengan jumlah awalnya seramai 287 orang.

"Daripada jumlah itu, yang terus kekal dengan kumpulan ini pada awalnya 77 orang, kemudian tinggal 71 orang, tetapi kini tiga daripadanya telah meninggal dunia dan yang masih ada hanyalah 68 orang sahaja," katanya yang juga selaku ketua kepada kumpulan terbabit ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Sepanjang menjadi peneroka Felcra, menurutnya, beliau dan rakan-rakannya itu hanyalah menerima pendapatan bulanan tidak lebih RM300 sebulan.

Selain itu, berdasarkan dokumen yang diberikan oleh pihak Felcra kepada mereka, setiap peneroka terbabit akan diberikan hak milik tanah seluas 10 ekar seorang untuk diterokai bagi penanaman kelapa sawit.

"Pihak Felcra ternyata telah mendapat keuntungan yang lumayan, tetapi sepanjang menjadi peneroka, kami hidup penuh sengsara kerana hanya mempunyai pendapatan tidak lebih RM300 sebulan.

"Dengan pendapatan sebanyak itu, masakan cukup untuk kami menampung kehidupan? Tambahan pula dalam masa yang sama, kami juga terpaksa membayar hutang kepada pihak Felcra.

"Malah untuk hidup dan membayar hutang, ada di antara kami yang terpaksa mencari katak dan ular untuk dijual, selain menjual lembu dan kambing peliharaan masing-masing," jelasnya.

Disebabkan tekanan itulah, mereka mengambil keputusan keluar dari Felcra dan menuntut keadilan dari mahkamah bagi membolehkan badan tersebut membayar pampasan kepada mereka dengan kadar RM1,000 sebulan sejak 20 tahun lalu.

Selain itu, mereka juga turut menuntut badan tersebut membayar ganti rugi terhadap lebihan tanah yang diusahakan oleh mereka sebanyak 834 ekar kesemua.

Manakala tuntutan ketiga berupa tuntutan terhadap potongan cukai, apabila mereka dipaksa membayar cukai tanah walaupun tanah-tanah tersebut belum diberikan hak milik sepenuhnya kepada mereka.

"Kami turut menuntut Felcra membayar sebanyak RM10,000 seorang kepada setiap ahli dalam kumpulan kami di atas kesengsaraan hidup yang kami alami sejak 20 tahun lalu," ujarnya.

Sementara tuntutan-tuntutan lain pula, tambah beliau, lebih bersifat umum termasuk mendesak kesemua menteri dan pemimpin-pemimpin Umno BN terbabit agar mengambil tanggungjawab di atas segala penderitaan yang telah mereka alami sejak 20 tahun lalu.

"Sebelum kami mengambil tindakan undang-undang pada hari ini, kami telah pun merayu kepada beberapa pihak agar membantu menyelesaikan masalah kami ini.

"Antaranya dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2010 yang diterima oleh setiausahanya, menghantar surat kepada Timbalan Pengarah Felcra dan Pengurus Besar Felcra yang juga pada tahun 2010 lalu.

"Tetapi kesemua usaha kami itu hanya sia-sia dan kami amat kesal dengan apa yang berlaku itu. Sepatutnya kami tidaklah diperlakukan seperti ini, tetapi inilah yang telah kami alami sejak 20 tahun lalu dengan tiada siapa yang peduli," ujarnya kesal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan