Isnin, 13 Februari 2012

PESERTA FELCRA TERIMA DIVIDEN RM839 JUTA

Peserta Felcra terima dividen RM839j
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR dan AIN SAFRE BIDINpengarang@utusan.com.my
PASIR SALAK 12 Feb. - Seramai 94,000 peserta Felcra di seluruh negara bakal menerima durian runtuh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan dividen sebanyak RM914 juta di sini Sabtu ini.
Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, pengumuman tersebut akan dibuat sempena Perhimpunan Rakyat dan Peserta Felcra Peringkat Kebangsaan yang dijangka dihadiri seramai 50,000 orang.
"Daripada jumlah dividen tersebut, RM839 juta adalah untuk peserta Felcra sementara yang selebihnya akan diagihkan kepada peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
"Terdapat 7,000 peserta PPRT di seluruh negara yang kita bantu setiap bulan sejak bertahun-tahun lamanya iaitu bantuan bulanan sebanyak RM250 sebulan," katanya selepas meninjau persiapan perhimpunan tersebut di Tapak Perumahan Generasi Kedua Felcra Berhad Seberang Perak, Changkat Lada dekat sini hari ini.
Hadir sama Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Perak, Mat Roni Zakaria.
Sementara itu Tajuddin berkata, Felcra akan mewujudkan dana pelaburan yang diuruskan oleh syarikat Pelaburan Felcra Berhad dengan suntikan awal sebanyak RM100 juta.
Beliau berkata, dana pelaburan itu adalah inisiatif baru bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil ladang oleh peserta Felcra kerana hasil sektor itu yang semakin terhad ekoran masalah kekurangan tanah.
Tajuddin memberitahu, dana tersebut diuruskan oleh lembaga amanah yang profesional dan Felcra menggalakkan peserta untuk menabung dalam dana pelaburan berkenaan.
"Kami jangka kalau peserta melabur, Felcra pun melabur. Kita boleh wujudkan dana hingga RM500 juta dalam tempoh tiga atau tempat tahun. Jumlah itu membolehkan kita melakukan pelbagai pelaburan dan beri pulangan kepada syarikat dan peserta," katanya.
Selain itu katanya, Felcra juga akan menubuhkan Kolej Felcra di Seberang Perak bagi membangunkan modal insan daripada kalangan generasi Felcra.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan