Felcra Bayar Dividen RM400 Juta
TEMERLOH- Felcra menjadi agensi terbaru memberi duit raya apabila memperuntukkan RM400 juta bagi bayaran dividen kepada 85,000 penerokanya sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dividen tersebut adalah hasil daripada pengeluaran ladang Felcra sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Katanya, peserta Felcra akan menerima durian runtuh masing-masing berdasarkan keluasan tanah milik mereka yang akan dibayar mulai minggu hadapan.
“Jika peneroka Felda menerima durian runtuh daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), peserta Felcra juga bakal menerima dividen hasil pengeluaran ladang mereka,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Peserta Felcra Berhad Bersama Menteri di Kerdau dekat sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Juzilman Basir dan Pengarah Felcra Pahang, Datuk Mohd. Ghazali Abdul Karim.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian duit raya berjumlah RM43.2 juta untuk peneroka Felda di seluruh negara.
Sabtu lalu, RISDA turut mengagihkan dividen 2011 berjumlah RM314.6 juta untuk 39,306 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok dan Tanam Semula Komersial di seluruh negara.
Menurut Mohd. Shafie, pendapatan Felcra Berhad dijangka mencecah sehingga RM800 juta pada akhir tahun ini berikutan permintaan produk sawit yang tinggi di pasaran dunia.
Katanya, Felcra akan menyusun beberapa strategi bagi meningkatkan lagi hasil pendapatannya dengan menumpukan pada program pembajaan dan menggunakan benih kelapa sawit berkualiti bagi menghasilkan pengeluaran ladang yang berlipat kali ganda.
Selain hasil perladangan katanya, Felcra merancang untuk mempelbagaikan aktivitinya bagi menambah pendapatan dengan menceburi pelaburan hartanah dan sebagainya.
“Felcra tidak boleh terlalu bergantung pada hasil ladang secara berterusan kerana ia tidak seperti Felda yang mempunyai ladang yang luas, tetapi perlu melakukan sesuatu anjakan untuk menambahkan pendapatan agensi,” katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pengurusan dan jentera pentadbiran Felcra yang terus berusaha untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing korporat. – Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan