Selasa, 26 April 2011

Gajah liar mengamuk


KOTA TINGGI – Peserta Felcra Sungai Ara di sini gempar apabila tanaman kelapa sawit mereka dimusnahkan oleh sekumpulan gajah liar dipercayai datang dari hutan berdekatan sejak akhir tahun lalu sehingga mencatatkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Lebih teruk lagi, Dusun Panti yang menjadi tempat perhentian orang ramai diserang haiwan liar terbabit sehingga menyebabkan kemusnahan landskap dan infrastruktur kawasan tersebut.

Seorang peniaga di Dusun Panti, Nasidah Hashim, 48, berkata, kehadiran haiwan liar tersebut sedikit sebanyak mengundang kebimbangan apabila gajah itu dilihat mula ‘meneroka’ kawasan berdekatan premis perniagaannya sekali gus merosakkan tanaman berhampiran.

“Saya sebagai peniaga di sini berasa risau apabila melihat kehadiran gajah sejak beberapa hari lalu yang merosakkan infrastruktur jalan sehingga menyebabkan laluan tersebut terpaksa ditutup bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Malah terdapat banyak tumbuh-tumbuhan terutamanya pokok kelapa tumbang manakala sebahagian landskap yang diatur kemas musnah akibat kewujudan gajah di kawasan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Undang bahaya

Menurut Nasidah yang juga merupakan peserta Felcra Sungai Ara, dia khuatir jika dibiarkan gajah liar itu bertempiaran tanpa mengambil langkah keselamatan boleh mengundang kemusnahan premisnya itu sekali gus mengakibatkan kerugian besar.

“Pokok kelapa di belakang kedai ini hampir sahaja ditarik gajah malam tadi (semalam) menyebabkan saya bimbang jika dalam masa yang terdekat, haiwan liar ini akan menarik pokok kelapa sehingga tumbang.

“Jika pokok kelapa ini tumpang, pasti akan menghempap restoran kami sekali gus mengakibatkan kerosakan dan ia perlu dibaiki yang mana kos baik pulih diperlukan juga tinggi,” katanya.

Najis berterabur
Selain itu juga, Nasidah berkata, najis yang berlonggok yang ditinggalkan oleh gajah terbabit di merata-rata tempat boleh menyebabkan pandangan pengunjung yang hendak meninjau ke kawasan tersebut berasa kurang selesa.

“Bukan sahaja tumbuh-tumbuhan yang dimusnahkan, malah najis gajah yang berlonggok di setiap tempat perhentiannya boleh mengundang rasa ketidakselesaan kepada pengunjung lebih-lebih lagi jika terdapat pengunjung yang hendak ke tandas,” katanya.

Bukan sehari dua

Penyelia ladang Felcra Sungai Ara, Amirzan Ahmad berkata, masalah amukan gajah tersebut bukan sahaja pada bulan ini, malah kedatangan haiwan berbelalai panjang itu telah wujud sekian lama.

Namun menurutnya, kedatangan gajah di kawasan terbabit bukan setiap hari tetapi ia tidak menentu malah tidak dapat dijangkakan.

“Masalah gajah ini telah lama berlaku di mukin Ulu Sedili, tetapi baru-baru ini iaitu pada akhir tahun lalu dan awal tahun ini, gajah mula berkeliaran di kawasan Dusun Panti ini khususnya berhampiran restoran,” katanya.

Amirzan berkata, selaku penyelia ladang, dia turut membuat pantauan, malah Amirzan turut menjumpai haiwan liar setinggi 2.4 meter itu berkeliaran sambil memakan tumbuh-tumbuhan yang ada di kawasan Dusun Panti.

“Saya kerap meronda kawasan pada waktu malam apatah lagi pada ‘musim kedatangan’ gajah liar ini, namun saya tidak dapat berbuat apa-apa selain menyuluh lampu ke arah gajah supaya gajah ini pulang ke tempat asalnya.

“Bukan saya sahaja yang cuba menghalau gajah tersebut, tetapi terdapat juga peserta Felcra yang berbuat demikian untuk menjaga tanaman mereka daripada musnah,” katanya.

Sudah dimaklumkan

Sementara itu, Pengurus Kawasan Felcra Sungai Ara, Arshad Mohamad berkata, masalah tersebut telah pun dimaklumkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Bandar Penawar, Kota Tinggi bagi tindakan selanjutnya.

“Kita telah menghubungi Perhilitan daerah ini bagi tujuan tindakan selanjutnya dan kita juga turut mengambil langkah berjaga-jaga seperti menebang pokok kelapa yang berdekatan restoran terbabit agar sebarang kecelakaan dapat dihindarkan,” katanya.

Menurutnya, masalah amukan gajah ini di beberapa kawasan penanaman kelapa sawit telah mengakibatkan kerugian kira-kira RM130,000 pada peringkat awal menyebabkan pihaknya mengambil inisiatif lain bagi menghalau gajah terbabit.

“Tidak kurang daripada 10,000 pokok kelapa sawit di empat kawasan iaitu Sungai Ara, Ulu Sedili, Batu 15 dan Dusun Panti telah musnah dan menyebabkan pihak kami terpaksa menanggung kerugian.

“Disebabkan itu, pelbagai langkah diambil bagi menghalau gajah liar ini termasuklah menggunakan meriam automatik sebagai alternatif terbaik,” katanya.

Penolong Pengarah Perhilitan Negeri Johor, Shamsul Hakim Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan dan telah membuat pemantauan di setiap kawasan serta akan membuat tindakan susulan selepas ini.

“Kami sedia maklum mengenai masalah gajah ini yang mana pemantauan telah dilakukan oleh Jabatan Perhilitan daerah dan turut menerima aduan daripada penduduk, seterusnya akan membuat tindakan susulan selepas ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan